Berita SemasaDalam Negeri

RUU Mufti : kerajaan terbuka dengar pendapat, berbincang

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan yang akan dibentang di Parlimen telah melalui proses libat urus yang komprehensif bagi memastikannya selaras dengan Perlembagaan dan Undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan input, syor dan pandangan yang dapat memartabatkan Islam.

Justeru, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhamad Razak Idris menggesa orang ramai supaya mengelakkan sikap suka mencetuskan provokasi dalam masyarakat khususnya berkait isu RUU Mufti.

Katanya, perbincangan isu-isu yang berkaitan pemikiran keagamaan yang rumit dan memerlukan kepakaran yang khusus juga tidak sewajarnya dibuat secara terbuka sebaliknya menggunakan saluran rasmi sekiranya memerlukan penjelasan lanjut berkaitan perkara ini.

“Saya menyeru orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah dan beretika serta menjaga tutur kata agar tidak mengguris perasaan manamana pihak demi memelihara kewibawaan dan kehormatan terhadap institusi pentadbiran hal ehwal agama di negara kita, seterusnya menjamin kesejahteraan beragama di kalangan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Muhamad Razak berkata, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga sedang giat melaksanakan sesi penerangan berkaitan isu-isu berbangkit terhadap RUU Mufti ini bagi menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang timbul.

Kenyataan itu susulan hantaran media sosial seorang tokoh agama yang mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, berdialog secara terbuka berkaitan RUU Mufti 2024.

 

Show More

Related Articles

Back to top button