Berita Semasa

Keselamatan makanan: Dr Dzulkefly minta semua pihak bersedia hadapi perkara luar jangka

PUTRAJAYA – Semua pihak yang terlibat dalam rantaian penghasilan makanan di negara ini diminta bersedia untuk menghadapi sebarang perkara luar jangka yang boleh mengganggu dan menjejaskan keselamatan makanan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata, langkah itu bertepatan dengan tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia tahun ini iaitu ‘Food Safety: Prepare for the Unexpected’ (Keselamatan makanan: Bersedia untuk perkara luar jangka).

“Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) adalah ‘first gatekeeper for food safety’ (yang menjaga keselamatan makan) untuk memastikan pengguna sentiasa mendapat makanan yang selamat dan berkualiti.

“Kita tidak boleh sentiasa berada dalam krisis, contohnya keracunan makanan yang sering memangsakan anak-anak kita di sekolah akibat patogen seperti salmonella. Berapa kali lagi insiden seperti ini harus berulang?,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Persidangan Keselamatan Makanan Kebangsaan 2024 (NFSC 2024) di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, seramai 500 peserta menyertai NFSC 2024 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA).

Persidangan yang diadakan bermula hari ini hingga esok itu menghimpunkan peserta terdiri daripada pihak industri, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, akademia serta para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Selain itu, NFSC 2024 turut menjanjikan perkongsian amalan keselamatan makanan terbaik melalui perkongsian pelaksanaan dasar, perbincangan berinformasi tinggi, penyelesaian inovatif dan kerjasama berimpak tinggi oleh pembentang- pembentang tempatan dan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, selain daripada keselamatan, kualiti makanan juga perlu dijaga bagi memastikan rakyat selamat daripada bukan sahaja penyakit berjangkit (ID), namun juga penyakit tidak berjangkit (NCD) dan malnutrisi.

“Atas sebab kita telah berjuang untuk menaik taraf jawatan Pengarah Kanan PKKM kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), bersama-sama Program Kesihatan Pergigian dan Program Perkhidmatan Farmasi (September lepas),” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button