Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Treler rempuh enam kenderaan hadapi masalah brek

BATU PAHAT – Sebuah treler membawa muatan batu bata yang merempuh enam kenderaan termasuk dua motosikal di persimpangan lampu isyarat di Sri Medan di sini dipercayai mengalami masalah brek.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan pada pukul 3.47 petang itu berlaku apabila lori dari Parit Sulong dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru.

Katanya, kejadian berlaku sebaik sahaja lori berkenaan tiba di laluan menurun bukit dan kemudian merempuh kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat kerana kehilangan kawalan.

“Siasatan awal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) mendapati kemalangan menyebabkan enam kenderaan mengalami kerosakan teruk namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu.

“Keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu treler terbabit bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa hingga menyebabkan kemalangan.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam video tular semalam, sebuah lori treler dirakam melalui kamera dashcam merempuh beberapa buah kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Show More

Related Articles

Back to top button