Berita SemasaPolitik

Prestasi baik KDNK, bukti keberkesanan dasar Ekonomi Madani

KUALA LUMPUR – Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun 2024 yang mencapai 4.8 peratus hingga 5.3 peratus membuktikan keberkesanan dasar ekonomi di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, pencapaian KDNK yang melepasi unjuran awal iaitu empat hingga lima peratus itu juga mencerminkan kejayaan kerajaan menguruskan cabaran ekonomi global dan domestik dengan baik.

“Dasar fiskal dan monetari yang baik telah berjaya mengawal inflasi dan menstabilkan pasaran, seterusnya merangsang pertumbuhan sektor-sektor utama ekonomi seperti pembuatan, perkhidmatan, dan eksport.

“Pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan galakan kepada pelaburan asing serta domestik juga memainkan peranan penting dalam pencapaian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, segala pencapaian itu jelas menunjukkan keupayaan kerajaan MADANI memulihkan ekonomi negara di sebalik cabaran ekonomi global, ketidakstabilan geopolitik, inflasi global dan ketidaktentuan pasaran.

“Saya yakin dalam tempoh tiga tahun akan datang, lebih banyak pemulihan ekonomi dapat direalisasikan oleh YAB Perdana Menteri dan kerajaan MADANI.

“Dengan momentum pertumbuhan yang kukuh ini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Sivakumar juga menggesa usaha kerajaan MADANI mempromosikan kerjasama antara sektor awam dan swasta yang menghasilkan impak positif dan menguntungkan negara wajar diberikan perhatian.

“Tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan kerajaan MADANI atas pencapaian cemerlang ini. Kerjasama yang baik antara semua lapisan masyarakat dan pihak kerajaan adalah kunci kepada kejayaan kita bersama,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button