Berita SemasaPolitik

Hannah Yeoh sambut baik cadangan DAP perkenal pelantikan Ahli Majlis KL

KUALA LUMPUR – Hannah Yeoh menyambut baik cadangan DAP untuk mewujudkan pelantikan Ahli Majlis bagi Kuala Lumpur, yang dikatakan mampu menyelesaikan masalah di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berpandangan bahawa pelantikan itu merupakan cadangan yang baik memandangkan ia bukanlah suatu perkara yang baru.

“Sekarang bajet semua ditentukan oleh DBKL. Saya bagi contoh di kawasan saya Segambut, kawasan saya besar tapi selalu bajet untuk pengurusan pokok itu tak cukup dan setiap kali hujan, pokok tumbang senarai menunggu) kita panjang sekali

“(Jadi) daripada selalu kita mohon, tunggu, baik ada pembuat dasar bersama DBKL yang boleh wakili suara-suara ahli-ahli Parlimen semua.

“Ini bukan suara Hannah Yeoh tapi suara Segambut. Ini memang satu isu berpanjangan, isu penyelenggaraan, isu pengurusan DBKL bersama ahli Parlimen,” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semasa Majlis Ramah Mesra Menteri Belia dan Sukan bersama peserta Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan berkata, cadangan DAP Negeri Wilayah Persekutuan untuk memperkenalkan reformasi dengan melaksanakan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur bagi memastikan tadbir urus yang baik merupakan pendekatan yang bijak dan progresif.

Beliau berkata, cadangan tersebut merupakan langkah pertama yang bijak dan akhirmya matlamat utama adalah ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button