Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pekan Sik, beberapa kampung sekitar ditenggelami banjir malam tadi

SIK – Hujan lebat selama kira-kira lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan termasuk Pekan Sik di sini ditenggelami banjir kilat sedalam kira-kira satu meter malam tadi.

Ketua BBP Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, antara kawasan terjejas terus adalah Kampung Chepir, Kampung Kemelong, Kampung Lubuk Tualang dan Kampung Belimibing yang mana 40 orang mangsa diselamatkan.

Kawasan lain yang terlibat termasuk Kampung Jerai, Kampung Bendang Tebal dan Kampung Bendang Temingat.

Beliau yang mengetuai operasi menyelamat bersama 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik pada pukul 9 malam sehingga 5 pagi tadi berkata, pasukan berdepan cabaran arus air yang deras dalam keadaan kawasan yang gelap.

“Menyelamatkan mangsa pada waktu malam agak sukar kerana kita tidak tahu apa yang ada di sekeliling.

“Dengan memakai pakaian lengkap termasuk jaket keselamatan ketika operasi dilakukan dengan berhati-hati terutama di kawasan air deras serta berhampiran sungai,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Sementara itu katanya, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak dapat pulang selepas kawasan rumahnya di Kampung Kemelong dinaiki air setinggi 1.5 meter dan terpaksa meminta bantuan bomba untuk pulang ke rumah.

“Remaja itu buntu mencari jalan untuk pulang ke rumahnya selepas keluar bersama rakannya sebelum itu.

“Bagaimanapun remaja itu yang terperangkap hampir empat jam di simpang jalan kampung berkenaan meminta bantuan di BBP Sik pada jam 3.50 pagi untuk pulang ke rumahnya,” katanya.

Difahamkan, setakat ini sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Kampung Tanjung Belit, di sini awal pagi tadi yang menempatkan seramai 68 mangsa daripada 30 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Show More

Related Articles

Back to top button