Berita Semasa

JHEAIK sudah dapatkan penjelasan pendakwah mengenai isu viseo tular

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memaklumkan pendakwah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli sudah mengakui kesilapan beliau berkaitan isu video tular yang menunjukkan kumpulan pelajar memujinya secara keterlaluan.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin berkata, pihaknya sudah mendapatkan penjelasan daripada pendakwah berkenaan.

“Menurut beliau, perkara itu berlaku secara spontan bukan atas kehendak beliau. Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara itu dan sekadar meraikan hasrat pelajar beliau bertujuan meraikan sambutan hari lahirnya.

“Pihak JHEAIK memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat dan ketaksuban melampau sekiranya tidak dibendung.

“Ia juga boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya diberitahu Muhd Zainul bahawa video itu dirakam pada 2020 namun hanya tular baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata Abdul Ghani lagi, JHEAIK turut mengarahkan pendakwah berkenaan supaya menyampaikan teguran dan nasihat kepada pelajar dan pengikut beliau.

Pendakwah itu akur dan mengakui kesilapan yang berlaku dan bersedia menerima teguran serta akur dengan tindakan susulan yang akan diambil oleh pihak JHEAIK.

“JHEAIK berharap semua pihak di negeri ini berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 54 saat dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mempersoalkan tindakan sekumpulan pelajar memuji Muhd Zainul secara keterlaluan sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, pihaknya sudah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi menyiasat isu berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button