Berita SemasaDalam Negeri

Sambutan Minggu Perpaduan diadakan di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – Mesyuarat YB Menteri Perpaduan Negara bersama Exco – Exco Perpaduan Negeri dan Exco – Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) semalam memutuskan Pulau Pinang sebagai tuan rumah kepada Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2024.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan berkata, sambutan itu bertujuan memupuk perpaduan dan integrasi melalui pendekatan terpilih dan cekap sehingga ke peringkat akar umbi dengan matlamat untuk mengukuhkan hubungan masyarakat dan memelihara ekosistem perpaduan.

Selain itu katanya, mesyuarat juga memberi fokus kepada perbincangan Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak yang mendedahkan perbezaan etnik, agama dan latar belakang masyarakat di negara ini bukan faktor penghalang kepada usaha mencapai kesepaduan sosial.

“Kajian oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mendapati tahap kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi.

“Faktor Jarak Sosial (JS) yang dekat dan keakraban hubungan antara individu merupakan faktor dominan yang mempengaruhi kesepaduan sosial.

“Kedekatan hubungan ‘jarak sosial’ ini boleh ditafsirkan bahawa sikap penerimaan dan saling percaya masyarakat di negeri ini melangkaui sempadan etnik, agama dan budaya,” katanya.

Aaron Ago Dagang semasa Mesyuarat YB Menteri Perpaduan Negara bersama Exco – Exco Perpaduan Negeri dan Exco – Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) semalam.

Aaron berkata, mesyuarat membentangkan hasil Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang belum pernah dijalankan di negara ini.

“Kajian ini dilaksanakan secara komprehensif bagi mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan permasalahan kenyataan berbaur kebencian dalam masyarakat Malaysia.

“Kajian ini hanya akan memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian yang berlaku di Malaysia tanpa melibatkan isu berkaitan dengan kebebasan bersuara,” kata beliau.

Aaron berkata, kenyataan berbaur kebencian di media sosial adalah suatu bahana serius yang memerlukan perhatian bersama dari segenap lapisan masyarakat.

“MExUnity menjadi wadah perbincangan di antara Menteri Perpaduan Negara dan barisan EXCO Kerajaan Negeri untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha ke arah penyatupaduan rakyat melalui program-program berteraskan perpaduan di peringkat kebangsaan dan negeri,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button