Berita Semasa

Lebih 500 pekerja TikTok Malaysia diberhentikan

Syarikat giatkan penggunaan AI dalam penapisan kendungan

CYBERJAYA – Syarikat ByteDance yang mengendalikan aplikasi TikTok memberhentikan lebih 500 pekerjanya di negara ini.

Menurut laporan portal The Malaysian Reserve (TMR), keputusan itu dimaklumkan menerusi emel yang dihantar kepada kakitangan terlibat.

Difahamkan, isi kandungan emel tersebut memaklumkan, Bytedance akan menggiatkan penggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menapis kandungan di salurannya.

“TikTok menggunakan gabungan sistem automatik dan manusia sebagai moderator untuk mengendalikan kandungan di platform terbabit.

“Proses ini direka khas untuk menapis kandungan tidak sesuai, berbahaya atau melanggar polisi berkaitan kecerdasan buatan (AI) TikTok melalui pembelajaran yang dikawal selia manusia.

“Maklum balas manusia digunapakai untuk meningkatkan ketepatan dan keupayaan kandungan AI,” kata kandungan emel tersebut, semalam.

Jun lalu, Bloomberg melaporkan ByteDance memecat 450 pekerja di Indonesia dan membeli platform e-dagang Tokopedia, malah turut menggabungkannya dengan operasi Tiktok.

Terdahulu, CNN memberitahu bahawa syarikat gergasi dari China itu pernah merancang untuk memberhentikan pekerja di seluruh dunia melibatkan staf bahagian pemasaran, khidmat sokongan, komunikasi, pencipta kandungan dan lain-lain.

Tambahnya, bahagian operasi pengguna global TikTok juga bakal dirombak, manakala kakitangan selebihnya dibahagikan kepada unit amanah, keselamatan, pemasaran, kandungan dan produksi.

Setakat ini, tiada sebarang respons atau kenyataan lanjut dikeluarkan oleh ByteDance berhubung perkara berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button