Berita Semasa

RUU Kewarganegaraan dibahas pada minggu pertama sesi Parlimen akan datang

CYBERJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan kewarganegaraan akan dibahas dan diputuskan dalam sidang Parlimen bermula 14 Oktober ini.

Beliau berkata, cadangan pindaan tersebut telah dikaji dengan teliti dan cermat supaya keluhuran perlembagaan terjaga dan keselamatan di dalam negeri tidak dikompromi.

“Cetusan pindaan ini bermula dengan kejanggalan di dalam kes permohonan warganegara Malaysia buat anak yang dilahirkan di luar negara.

“Setelah itu, saya bersama team Kementerian Dalam Negeri telah berbincang untuk meminda beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kewarganegaraan kerana setelah beberapa dekad isu kewarganegaraan ini juga berubah secara dinamik dan kompleks,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Bagi memudahkan pemahaman, katanya, beberapa fakta penting yang membawa kepada RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan Kewarganegaraan akan diringkaskan supaya orang ramai dapat mengikuti perbahasan di Parlimen dengan lebih inklusif.

“Saya akan terus terus kongsikan maklumat dan penerangan penting di hantaran saya yang akan datang, Insya Allah,” katanya lagi.

Pindaan yang dilakukan ini selaras dengan manifesto dua parti yang menganggotai gabungan berkenaan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Selain itu, pindaan tersebut juga penting bagi anak-anak yang dianggap tidak sah taraf kewarganegaraan tetapi menetap di dalam negara bersama keluarga mereka tidak diusir keluar dari Malaysia apabila mencecah usia 21 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button