Jenayah & Mahkamah

Keputusan rayuan Bung Moktar dan isteri pada 18 November

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 18 November ini sebagai tarikh keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad sebelum itu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Keputusan itu penting bagi menentukan sama ada Bung Moktar perlu membela diri atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500.

Dakwaan tersebut berkaitan dengan kelulusan agensi untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Isterinya, Zizie Izette, turut menghadapi pertuduhan bersubahat dalam kes tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Terdahulu, pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Bung Moktar dan Zizie untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mereka sepatutnya membela diri pada Julai 2023, namun pada 7 September 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan mereka daripada semua pertuduhan selepas membenarkan permohonan semakan.

Sekiranya rayuan pendakwaan diterima, Bung Moktar dan isterinya akan sekali lagi berdepan prosiding untuk membela diri di atas tuduhan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button