Berita SemasaPolitik

Kehadiran Tentera Laut China: Kenapa libatkan sekolah?

PULAU PINANG – Sambutan yang diberikan terhadap dua kapal Tentera Laut China yang berlabuh di negeri ini dan kemudian hadir pada program di sebuah sekolah di sini disifatkan keterlaluan dan melanggar prinsip keadilan.

Setiausaha Penerangan Bersatu Negeri Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, walaupun pihaknya tidak mempersoalkan kehadiran dua kapal Tentera Laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang, kehadiran anggota tentera negara itu dalam acara di sekolah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Katanya, kehadiran tentera China di sekolah bukan sahaja dilihat bertentangan dengan idealogi negara sebagai sebuah negara demokrasi bahkan mampu mempengaruhi minda pelajar.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut mempersoalkan adalah penganjuran acara di sekolah itu mendapat kebenaran kerajaan pusat atau kerajaan negeri.

“Kenapa perlu diadakan di sekolah. Janganlah bagi apa jua alasan. Hakikatnya jangan sekali-kali diadakan di premis sekolah. Tambahan pula ia melibatkan anggota tentera negara China yang berbeza ideologinya dengan Malaysia.

“Adalah dikhuatiri nanti timbul tanggapan bahawa kerajaan Malaysia yang suatu ketika dulu pernah berperang bermati-matian dengan pengganas Parti Komunis Malaya(PKM) kini seolah-olah sudah mengiktiraf pula peranan serta ideologi komunis.

“Saya timbulkan perkara ini kerana khuatir pelajar-pelajar kita akan bertanggapan sedemikian,” katanya.

Zulkifli turut mempersoalkan ketelusan kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan dalam membenarkan program sedemikian berlangsung di sekolah.

Menurutnya, selama ini Kerajaan Madani menghalang pelbagai pihak termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Bersatu sendiri dari memasuki dan menganjurkan program di sekolah walaupun ia bukan melibatkan program politik.

“Kita (Bersatu) banyak kali memohon menganjurkan program kemasyarakatan, keibubapaan dan sebagainya dan bukannya melibatkan politik atau berkempen, namun semuanya ditolak.

“Tapi kini kerajaan boleh membenarkan anggota tentera dari negara China menghadiri program di sekolah. Apakah ini satu keadilan pada kita (Bersatu) yang merupakan rakyat sah negara ini?” tanya beliau.

Zulkifli menambah, sepatutnya apabila terdapat kehadiran anggota tentera mana-mana negara, ia sepatutnya melibatkan program rasmi antara kerajaan.

“Lebih tepat jika diadakan program dan kerjasama antara tentera Malaysia dan tentera China.

“Harapan saya agar perkara seperti ini tidak berulang lagi kerana ia akan memberi kesan negatif termasuk dalam kalangan ibu bapa serta pesara-pesara tentera yang pernah berjuang melawan komunis,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button