Jenayah & Mahkamah

GISBH: Kumpulan peguam bantah pemisahan kanak-kanak dari ibu bapa

KUALA LUMPUR – Sekumpulan peguam yang mewakili ahli-ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) membangkitkan kebimbangan serius berhubung laporan penahanan kanak-kanak yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka dalam siasatan terhadap ahli-ahli syarikat tersebut.

Peguam utama mewakili GISBH, Nizam Bashir berkata, tindakan memisahkan kanak-kanak tersebut dikatakan dilakukan di luar sempadan undang-undang yang ditetapkan, termasuk Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang diratifikasi Malaysia.

“Pemisahan itu jelas melanggar protokol undang-undang yang sepatutnya dijalankan dalam siasatan sebegini. Kami bimbang kanak-kanak ini tidak diberikan hak mereka seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pasukan guaman sedang merancang untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam apa yang mereka anggap sebagai pelanggaran hak kanak-kanak.

Nizam berkata, pihak mereka telah mengumpul bukti yang akan dibentangkan di Mahkamah bagi memastikan kanak-kanak tersebut dikembalikan kepada keluarga mereka.

“Kami akan memastikan semua tindakan yang menyalahi undang-undang diperbetulkan dan kanak-kanak yang terlibat dapat kembali kepada ibu bapa mereka secepat mungkin,” katanya lagi.

Pasukan guaman itu turut mengingatkan pihak berkuasa supaya mematuhi undang-undang sedia ada sepanjang proses siasatan berlangsung.

“Mereka mesti menjalankan siasatan dalam parameter yang telah ditetapkan oleh undang-undang Malaysia. Sebarang pelanggaran boleh membawa akibat serius,” katanya lagi.

Selain Nizam, kenyataan itu turut disokong oleh lima lagi peguam dari firma guaman lain termasuk Rizal Abdullah dari Rizal Abdullah & Co., Dorina Abdullah dari Dorina Abdullah & Co., Hizri Hasshan dari Akram Hizri Azad & Azmir, Muhammad Shahrin Satheer dari Shahrin Satheer Kamal & Co. dan Asmawati Mohd Shuaib dari Asmawati Shuaib Advisory.

Kes itu dijangka mendapat perhatian meluas dengan prosiding undang-undang yang bakal difailkan dalam masa terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button