Berita Semasa

Tiada tindakan terhadap Bloomberg setakat ini, maklum Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Tiada sebarang tindakan diambil setakat ini terhadap media antarabangsa, Bloomberg susulan laporan yang diterbitkan berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pihak media mempunyai hak untuk membuat laporan, merahsiakan atau melindungi sumber mereka.

Namun begitu, Fahmi berkata, media juga perlu akur terhadap hak untuk memberi jawapan dan mengangkat aspek etika kewartawanan termasuk dalam memilih tajuk-tajuk berita.

“Kita lihat Perdana Menteri tidak mengambil apa-apa tindakan setakat ini ataupun belum ada apa-apa tindakan yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Terdahulu, Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Anwar serta Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.

Memetik laporan itu, pembukaan kasino akan memulihkan projek hartanah bernilai AS$100 bilion itu.

Mengulas lanjut, Fahmi turut menekankan isu ‘clickbait’ daripada pihak media yang tidak menggambarkan isi kandungan sebenar sesuatu berita itu.

“Saya harap di kalangan rakan media boleh adakan perbincangan kewajaran memilih ‘headline’ atau tajuk berita, sama ada tajuk itu mewakili atau seiring dengan isi kandungan berita tersebut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button