Uncategorized

Lim Lip Eng desak siasatan menyeluruh kes anggota polis positif dadah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes jenayah berkaitan dadah melibatkan anggota polis, susulan penangkapan tiga anggota polis yang didapati positif dadah baru-baru ini.

Lip Eng berkata, siasatan mendalam perlu dilakukan untuk mengenal pasti bagaimana anggota terbabit mendapatkan bekalan dadah serta sumber kewangan yang menyokong aktiviti haram tersebut.

“Adakah mereka sebahagian daripada rangkaian jenayah yang lebih besar? Adakah mereka mencuri dadah daripada pengedar atau daripada bilik barang bukti polis?

“Soalan-soalan ini perlu dijawab jika kita mahu benar-benar membanteras rasuah dan jenayah dalam pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang baru-baru ini ditahan positif dadah semasa berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras.

Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.

Lip Eng berkata, siasatan terhadap kesalahan dadah melibatkan anggota polis sering kali hanya tertumpu kepada kes-kes individu, tanpa menyelidiki kemungkinan wujudnya rangkaian jenayah yang lebih besar.

“Pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan, bukan sekadar menghukum individu terlibat, tetapi juga untuk membongkar budaya atau sistem dalaman yang membolehkan penyalahgunaan dadah serta kegiatan haram lain dalam pasukan polis,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Lip Eng mendesak kepimpinan polis dan kerajaan untuk segera melaksanakan siasatan penuh dan telus berhubung perkara itu bagi memastikan kepercayaan orang awam terhadap integriti pasukan polis kekal terjamin.

“Rakyat perlu diyakinkan bahawa mereka yang diamanahkan untuk menjaga undang-undang tidak terlibat dalam kegiatan jenayah,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button