Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua termasuk individu berpangkat Datuk ditahan kes seludup diesel di Sibu

SIBU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 60-an itu dipercayai memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai telah menyeleweng diesel bersubsidi.

“Kedua-dua suspek lelaki dan wanita ini masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

“Namun, mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar serta bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa,” katanya.

Pada Ogos lalu, SPRM berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di Sungai Bidut, Sibu, dengan rampasan wang tunai RM3.7 juta dan bekalan diesel berjumlah 1.6 juta liter.

Sindiket berkenaan dipercayai telah meraih keuntungan kira-kira RM400 juta sejak beroperasi pada 2012.

Menurut sumber itu lagi, salah seorang suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah ini sekitar jam 11.20 pagi tadi hingga 12.30 tengah hari, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.

Show More

Related Articles

Back to top button