Berita Semasa

Fattah Amin nafi curang, tiada usaha pujuk Fazura

SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Fattah Amin menafikan dakwaan bahawa dia telah berlaku curang menerusi kenyataan yang dibuat
oleh bekas isterinya, Nur Fazura.

Menurut pelakon berusia 33 tahun itu, dakwaan ‘curang’ tidak sepatutnya timbul memandangkan peguam yang mewakili Fazura sebelum ini memaklumkan tiada kes curang berlaku.

“Saya nafikan perkara itu sebab peguam dia (Fazura) sudah cakap sebelum ini bahawa tiada kes curang berlaku. Kenapa tiba-tiba ada kes curang,” soal Fattah.

Terdahulu, Fazura mendakwa pengabaian nafkah, ketidaksefahaman dan berlaku curang merupakan punca penceraian mereka.

Mengulas lanjut, Fatah turut menafikan dakwaan bahawa tiada usaha memujuk Fazura sepanjang berlakunya keretakan rumah tangga pasangan itu.

“Boleh tengok Whatsapp dia yang kata saya tiada hubungi dia, tiada usaha pujuk. Tunjuk Whatsapp kalau berani.

“Saya juga datang rumah dia, namun telah dihalang daripada memasuki rumah. Sekarang ini sampai tahap begitu,” katanya.

Hari ini, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin dan Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini.

Sebagai rekod, Fattah dan Fazura melangsungkan perkahwinan pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusian 4 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button