Berita Semasa

246 calon pelatih asas Maritim lapor diri, teramai dalam sejarah

KUANTAN – Seramai 246 calon pelatih asas penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melapor diri di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut seramai 70 orang adalah calon pelatih asas Leftenan Muda Maritim Gred T13 manakala 176 orang merupakan calon pelatih asas Laskar Kelas II Maritim Gred T1 dan kesemuanya merupakan calon lelaki.

Beliau berkata, pengambilan pada siri kali ini melibatkan jumlah paling ramai dalam
sejarah Maritim Malaysia dan ia dijalankan serentak bagi lantikan kemasukan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Penguat Kuasa Lain-Lain Pangkat (LLP) Maritim.

“Semua calon yang melaporkan diri akan menjalani latihan selama 10 bulan berbanding siri-siri lantikan sebelum ini yang hanya menjalani latihan selama sembilan bulan.

“Dengan bertambahnya tempoh latihan asas, pelatih akan menjadi lebih bersedia dari segi ilmu teori dan praktikal sebelum dihantar ke kapal-kapal bagi menjalani latihan sambil kerja atau on-job training selama tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

246 calon pelatih asas Maritim melapor diri hari ini.

Sementara itu, salah seorang calon pelatih asas berkenaan, Haikal Iqbal Zainudin, 28, menyifatkan tawaran yang diterima merupakan rezeki daripada Allah SWT selepas beliau dan pasangan, Nur Sufiah Binti Ahamad Sasman, 26, dikurniakan cahaya mata kedua baru-baru ini.

Mempunyai kelulusan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkapalan dan Pelabuhan dari Solent Southampton University, United Kingdom, beliau yang sebelum ini merupakan pegawai Jabatan Imigresen memilih menyertai Maritim Malaysia kerana minat dalam bidang penguatkuasaan serta ingin bertugas di samudera menjaga keselamatan perairan negara.

Haikal Iqbal bersama pasangan dan anaknya yang baru dilahirkan.

Pengambilan serentak pelatih asas pegawai dan LLP itu bakal menyumbang kepada peningkatan jumlah perjawatan yang telah diluluskan kerajaan iaitu sebanyak 5,403 jumlah perjawatan dan Maritim Malaysia mengharapkan perjawatan tersebut dapat diisi sepenuhnya menjelang tahun 2026.

Terdahulu kesemua calon yang melapor diberikan penerangan mengenai dokumentasi akhir serta menjalani ujian saringan awal air kencing yang merupakan salah satu prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap calon bebas daripada penggunaan bahan terlarang sebelum mengangkat sumpah sebagai pelatih asas Maritim.

 

Show More

Related Articles

Back to top button