Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Samun RM600,000 di Pandamaran: Lapan suspek ditahan polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan suspek disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan di sebuah rumah di Pandamaran, Klang, Selangor yang mengakibatkan kerugian lebih RM600,000, Khamis lalu.

Semua suspek ditahan menerusi beberapa serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

BH Online dalam laporan memetik sumber berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek berusia 23 tahun yang dilakukan tidak lama selepas kejadian itu.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di sekitar Klang seterusnya beberapa serbuan susulan di Negeri Sembilan dengan enam lagi suspek ditahan.

Difahamkan, beberapa senjata yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Usaha memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas giat dijalankan,” kata sumber itu.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, sekumpulan lelaki dianggarkan antara 10 hingga 12 orang memecah masuk dan menyamun kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dilaporkan berkata, polis menerima laporan pada pukul 6.16 pagi daripada seorang mangsa berhubung rumahnya dipecah masuk beberapa lelaki.

Katanya, dalam kejadian pukul 5 pagi itu, antara 10 hingga 12 suspek dipercayai warga tempatan menaiki dua kenderaan memanjat tembok banglo tiga tingkat itu sebelum masuk ke rumah.

“Semua suspek memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang dikesan memasuki sebuah bilik dan mengikat tiga penghuni rumah itu sebelum menggeledah barangan.

“Seorang penghuni berjaya menelefon polis dan sebaik kereta peronda tiba di lokasi, semua suspek melarikan diri bersama dua kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada tiga penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun dalam kejadian itu.

Show More

Related Articles

Back to top button