Berita SemasaPM X

Kerajaan setuju perbanyak latihan bahasa Cina, Tamil di institusi perguruan

IPOH – Kerajaan bersetuju supaya latihan bahasa Cina dan Tamil diperbanyakkan di institusi perguruan selain daripada bahasa kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi membolehkan lebih banyak guru dalam mata pelajaran ini dapat dilatih Kementerian Pendidikan untuk dihantar ke sekolah Tamil dan Cina.

“Kerajaan berusaha memperkasa agenda ekonomi yang dilaksana dengan adil tanpa meminggirkan mana-mana kaum khususnya masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T) Heawood, Sungai Siput.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T) Heawood. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

Ujar Perdana Menteri, sekolah tersebut bakal menjadi satu lagi keperluan asas penting untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menekankan keperluan anak-anak di sekolah Tamil dan Cina untuk tingkatkan penguasaan bahasa ibunda masing-masing tanpa meminggirkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Sementara itu, Anwar berkata, bantuan yang sebelum ini khusus untuk membantu kaum Melayu dan Bumiputera juga telah diperluas kepada kaum India.

“Kerajaan Madani sentiasa berlaku adil kepada semua kaum dengan menyalurkan peruntukan menerusi TEKUN Nasional selain Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang sebelum ini khusus untuk membantu kaum Melayu dan bumiputera telah diperluas kepada kaum India,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button