Sukan

Liverpool kekal di puncak EPL

LONDON – Gol awal daripada Diogo Jota cukup untuk memberikan kemenangan tipis 1-0 kepada Liverpool ke atas Crystal Palace pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam Sabtu.

Kemenangan itu memastikan Liverpool kekal di puncak liga menjelang rehat antarabangsa, walaupun penjaga gol mereka, Alisson, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lewat perlawanan.

Perlawanan bermula pantas apabila Crystal Palace hampir membuka jaringan dalam tempoh 30 saat melalui penyudah Eddie Nketiah. Namun, gol tersebut dibatalkan kerana offside.

Liverpool kemudian memecah kebuntuan pada minit kesembilan melalui serangan pertama mereka. Cody Gakpo melorongkan bola kepada Kostas Tsimikas di sebelah kiri, yang kemudiannya menghantar bola kepada Jota dengan mudah melepasi pertahanan Palace dan menjaringkan gol keempatnya dalam semua kejohanan.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool di puncak dengan 18 mata daripada tujuh perlawanan, membuka jurang empat mata ke atas Manchester City dan Arsenal yang bermain kemudian.

Pertahanan Liverpool Virgil van Dijk berkata, sukar bermain di sini. Keputusan dari tahun ke tahun sentiasa ketat.

“Kami mungkin boleh bermain lebih baik pada separuh masa kedua, tetapi keseluruhannya, tiga mata besar dan kami akan menuju rehat antarabangsa dengan keyakinan tinggi,” katanya selepas perlawanan hari ini.

Jota hampir menambah gol kedua selepas sejam permainan apabila Trent Alexander-Arnold menghantarnya bola menerusi sepakan percuma, namun tandukannya tersasar.

Liverpool yang gagal menyempurnakan lebih banyak peluang hampir membayar harga apabila Nketiah dan Eberechi Eze berjaya memaksa Alisson membuat beberapa penyelamatan penting. Tuntutan penalti daripada Palace apabila van Dijk didakwa menarik Marc Guehi juga tidak dilayan pengadil.

Pengurus Palace, Oliver Glasner, menyifatkan insiden itu sebagai “penalti yang jelas” kerana van Dijk memegang Guehi dengan kedua-dua tangan.

Namun, jurulatih Liverpool, Arne Slot, mempertahankan keputusan pengadil. “Bola menuju kepada penjaga gol, dia (Guehi) tidak akan sampai ke situ,” katanya kepada TNT Sports.

Malang bagi Liverpool, Alisson mengalami kecederaan selepas terpaksa membuat sepakan tergesa-gesa, memaksa penjaga gol debutan, Vitezslav Jaros, dimasukkan. Ketika penyokong Palace menjangka perubahan momentum, Jaros berjaya menyelamatkan percubaan Eze dan menafikan Jean-Philippe Mateta dalam masa tambahan.

Crystal Palace terus tanpa kemenangan dengan hanya tiga mata daripada tujuh perlawanan.

Glasner berkata, persembahan pasukannya pada separuh masa kedua adalah yang terbaik musim ini.

“Kecewa, memang mengecewakan, tetapi persembahan selepas rehat adalah yang paling memberangsangkan setakat ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button