Berita Semasa

LHDN sumbang barang sukan bernilai RM30,000 kepada PPDK Kuantan

KUANTAN – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) telah menyantuni 41 orang anak-anak istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kuantan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut CSR dalam satu kenyataan, program CSR itu yang bertemakan “Sukan dan Keceriaan” itu merupakan salah satu program pengisian sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2024 yang bakal diadakan pada 7 November hadapan.

“Dalam program ini, sebanyak RM30,000 telah disumbangkan kepada PPDK Kuantan dalam bentuk peralatan dan keperluan sukan serta wang tunai untuk dimanfaatkan oleh para penghuninya dalam meningkatkan kualiti pengurusan dan aktiviti harian selain dapat mengasah kemahiran fizikal dan keyakinan diri mereka.

“Sebagai rekod, daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak RM15,000 adalah sumbangan ikhlas daripada warga LHDN seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli,

Dalam pada itu Hisham berkata, program kebajikan itu dilihat berupaya untuk memupuk nilai kerjasama serta membina interaksi yang positif dalam kalangan para penghuninya menerusi aktiviti riadah dengan akses kemudahan dan peralatan yang lebih baik.

“Sebagai sebuah agensi yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat, LHDN memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi memperkasakan golongan yang kurang bernasib baik.

“Oleh itu, program ini merupakan sebahagian daripada usaha LHDN untuk mendekati komuniti di samping membantu meningkatkan kesejahteraan serta memperkukuh hubungan antara LHDN dan masyarakat.

Semoga pelaksanaan program ini dapat memberi sinar kepada anak-anak istimewa yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan bersama-sama dengan masyarakat sekali gus meningkatkan imej LHDN sebagai sebuah agensi kerajaan yang prihatin terhadap kesejahteraan negara,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button