Berita SemasaDalam Negeri

KPN anjur Karnival Baca Perdana sepanjang bulan ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Karnival Baca Perdana sepanjang bulan Oktober ini.

Acara tersebut bertujuan memperkasakan komuniti membaca dengan mengeratkan hubungan antara pembaca, pengarang, pendidik, penerbit buku, dan pemimpin komuniti.

Karnival itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan mencapai sasaran “Negara Pembaca” menjelang 2030.

Berdasarkan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang dijalankan oleh PNM, kadar pembacaan rakyat di negara ini menunjukkan peningkatan yang positif.

Pada tahun lalu, purata pembacaan rakyat Malaysia adalah pada purata 24 naskhah buku setahun dengan 16 daripadanya adalah bahan bercetak dan lapan lagi adalah bahan digital.

“Ini menunjukkan peningkatan yang agak ketara berbanding dapatan kajian tahun 2005 yang merekodkan hanya dua naskhah setahun dan 15 naskhah pada tahun 2014.

“Kajian ini juga mendapati rakyat Malaysia memperuntukkan sekitar sembilan jam 22 minit seminggu untuk membaca dan membeli antara satu hingga lima naskhah buku setiap tahun,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh KPN.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aron Aro Dagang (kanan) bersama Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah PNM, Salasilah Abdul Wahab pada perasmian program Jom Baca Bersama 10 Minit pada April lalu.Sementara itu, PNM turut mengumumkan statistik terkini penganjuran program galakan membaca dan koleksi perpustakaan di seluruh negara.

Katanya, sepanjang 2023 hingga Ogos 2024, sebanyak 102,813 program membaca dianjurkan dengan penglibatan lebih 3.7 juta orang melalui penyertaan pelbagai perpustakaan termasuk Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Desa (PD) dan Perpustakaan Komuniti.

Bagi statistik kumulatif koleksi perpustakaan PNM sehingga Ogos 2024, jumlahnya adalah sebanyak 6,270,202 bahan bercetak, 98,438 bahan bukan bercetak, 5,978 manuskrip asal dan 132,705 bahan digital.

Bagi rekod pengunjung PNM pula, tempoh Januari sehingga Ogos 2025 merekodkan sebanyak 450,274 pengunjung secara dalam talian dan 61,877 kunjungan secara bersemuka.

Daripada jumlah pengunjung secara bersemuka, dianggarkan sebanyak 61.3 peratus pengunjung terdiri daripada kategori dewasa manakala 38.7 peratus adalah kanak-kanak.

Manakala rekod kunjungan di 506 PD PNM di seluruh negara pula adalah sebanyak 7,017,178 yang mana 927,116 daripadanya adalah pengunjung fizikal dan 6,091,396 adalah pengunjung dalam talian.

Karnival Baca Perdana pada kali ini diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya budaya membaca selari dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang cintakan ilmu.

Show More

Related Articles

Back to top button