Gaya HidupRencana

Start In Tioman lahirkan 2,500 graduan selam skuba

Program yang masuk tahun ke 15 kali ini disertai kira-kira 110 orang penyelam dan bukan penyelam

SEPANJANG 20 tahun dalam bidang kewartawanan, penulis telah mencuba begitu banyak aktiviti lasak untuk merasai pengalaman sebelum berkongsi cerita dengan pembaca.

Daripada selasak-lasak aktiviti di darat, sehinggalah rekreasi air dan udara, semuanya dicuba untuk mengetahui selok-belok permainan, peraturan dan merasai sendiri debarannya.

Di antara aktiviti-aktiviti itu, tidak banyak yang betul-betul ‘melekat’ dengan jiwa penulis atas faktor-faktor tertentu. Sebahagiannya menuntut komitmen berpasukan yang terlalu ramai, tempat operasi yang jauh malah ada juga yang tinggi risikonya.

Namun satu daripadanya kekal istimewa berbanding aktiviti yang lain kerana memberikan pengalaman yang betul-betul ‘asing’ kepada saya, iaitu selam skuba.

Keseronokan turun ke dasar laut tidak hanya berkisar pada keindahan warna-warni ikan dan terumbunya tetapi apa yang lebih berharga adalah perasaan ‘terpisah’ dari hiruk-pikuk di daratan.

Tempoh selama 40 minit sehingga sejam di dasar laut sebenarnya cukup berharga. Ketika telinga hanya ditemani bunyi-bunyi buih, pancaindera seakan-akan berhijrah ke alam penuh terapi.

Peserta SIT 2024 melakukan selaman di salah satu tapak selam popular di Tioman.

Kerinduan pada aktiviti itu membawa saya ke Tioman untuk menyertai salah satu acara skuba terbesar dalam negara iaitu Start In Tioman (SIT 2024) pada hujung minggu lalu.

SIT 2024 yang dianjurkan oleh Damai Tioman Resort dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan pelancongan dan swasta merupakan salah satu inisiatif memperkenalkan Pulau Tioman sebagai destinasi selam skuba ke pasaran global.

Seperti tahun-tahun terdahulu, atur cara SIT 2024 dibahagikan kepada aktiviti snorkeling, kursus Open Water yang disertai oleh 20 penyelam baharu dan aktiviti selaman dalam kalangan penyelam yang sudah berlesen.

Peserta SIT 2024 melakukan selaman di Tapak Selam Al-Sultan Abdullah, Tioman.
Tapak Selam Al-Sultan Abdullah di Pulau Tioman yang menggunakan dua gerabak LRT sebagai tukun buatan manusia.

Bagi penyelam yang sudah berpengalaman, tarikan utama selaman pada tahun ini adalah gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) yang dirasmikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai lalu.

Penempatan dua gerabak LRT oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah itu merupakan salah satu usaha menggalakkan pertumbuhan biodiversiti marin dan merehabilitasikan tukun-tukun yang pastinya menjadi tarikan kepada penyelam skuba di pulau tersebut.

Terletak pada kedalaman 17 meter, Tapak Selam Al-Sultan Abdullah di Monkey Bay itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan tercatat di dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Antara tapak selaman lain yang dilawati sepanjang tiga hari program termasuk Chebeh, Batu Malang dan Pulau Soyak.

Selain menyelam, SIT 2024 turut dimeriahkan dengan acara mencari harta karun, pertandingan makan, malam kebudayaan, menurunkan tukun buatan, majlis tahlil dan persembahan bunga api. Peserta turut dibawa melawat ke beberapa kawasan tarikan utama seperti Kampung Tekek, Kampung Salang dan pusat penetasan penyu.

Peserta SIT2024 mengambil peluang bergambar pada lawatan ke Kampung Tekek dan Kampung Salang. Kredit gambar : Start In Tioman 2024
Peserta SIT2024 mengambil peluang bergambar pada lawatan ke Kampung Tekek dan Kampung Salang. Kredit gambar : Start In Tioman 2024

Ulang tahun ke 15 SIT

Idros Yahya

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran SIT, Datuk Idros Yahya berkata, penganjuran SIT 2024 yang bertemakan ‘reunion’ pada tahun ini berjaya menghimpunkan kira-kira 110 peserta termasuk bekas-bekas peserta dari SIT tahun terdahulu.

Beliau berkata, penganjuran yang masuk tahun ke 15 kali itu telah melahirkan lebih 2,500 penyelam skuba pelbagai peringkat kemahiran sejak dari acara yang pertama.

“Apa yang saya lihat hari ini ramai daripada alumni datang semula untuk menghantar anak atau pasangan mengambil lesen selam skuba.

“Bahkan ada penyelam yang dahulu bermula dengan lesen Open Water kini telah menaiktaraf kemahiran ke peringkat Rescue.

“Ini bertepatan dengan sasaran kita untuk melihat ada dalam kalangan mereka (selepas ini) dapat menjadi jurulatih atau memulakan perniagaan pusat selam skuba,” katanya pada majlis penutup dan perasmian SIT 2024.

Peserta SIT2024 menurunkan tukun tiruan ke dasar laut untuk menggalakkan pertumbuhan terumbu karang. Kredit gambar : Start In Tioman 2024

Peserta SIT2024 mengikuti kursus kemahiran selam skuba peringkat permulaan (Open Water).Bekas pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (MOTAC) Pahang itu berkata, selain pelancong tempatan, penganjuran SIT juga mensasarkan kemasukan pelancong dari luar negara untuk mengikuti kursus selam skuba pada harga lebih rendah di negara ini.

Beliau yang baharu sahaja bersara sebagai Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) berkata, program berteraskan pelancongan lestari itu juga diharap dapat menyumbang manfaat kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat.

Syed Rizalman Syed Abu Bakar

Penganjuran lebih besar pada SIT akan datang

Sementara itu, pemilik Damai Tioman Resort selaku penganjur SIT 2024, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, pihaknya mensasarkan penganjuran yang berskala lebih besar pada tahun depan.

“Kami harap SIT akan datang dapat diperbesarkan lagi penganjurannya melalui kerjasama dengan lebih banyak pihak dan pengusaha resort di Tioman.

“Kami juga mempunyai banyak perancangan masa depan untuk mempromosikan Tioman sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam bawah air tetapi juga alam semulajadi, makanan, kraftangan dan budaya setempat,” katanya.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button