Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kumpulan 10 penyamun larikan barang kemas, wang tunai RM600,000

KLANG – Sebuah keluarga kerugian barang kemas dan wang tunai kira-kira RM600,000 dalam satu kejadian samun bersenjatakan parang di Pandamaran, Klang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata,
polis menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 6.16 pagi daripada salah seorang mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati
sekumpulan 10 hingga 12 lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa pada pukul 5 pagi.

“Seorang daripada tiga penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu akibat ditetak oleh penyamun.

“Suspek dipercayai warga tempatan menaiki dua kenderaan telah memanjat tembok banglo tiga tingkat itu sebelum masuk ke rumah.

“Semua suspek yang memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang dikesan memasuki sebuah bilik dan mengikat tiga penghuni rumah itu sebelum menggeledah barangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hoong Fong berkata, kesemua suspek berjaya melarikan diri bersama dua buah kenderaan sebelum polis tiba.

Katanya, semakan di rumah mangsa mendapati suspek melarikan wang tunai, patung keagamaan dan barang kemas bernilai RM600,000.

“Seorang penghuni berusia 37 tahun ditetak di bahu dan menerima jahitan di sebuah hospital swasta di Klang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button