Agama

Selangor fatwa ajaran GISBH menyeleweng daripada Islam

SHAH ALAM – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan pegangan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar.

Menurut satu kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook Selangor Royal Office, keputusan hasil mesyuarat khas itu yang dibuat pada 30 September lalu disembah maklum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk diperkenankan.

Keputusan itu dipersembahkan oleh Pengerusinya yang juga Mufti Selangor, Datuk Seri Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung yang dibawa oleh kumpulan Darul Arqam yang telah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut Warta No. 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

“Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat,” katanya dalam atu kenyataan hari ini.

Katanya, apa jua variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Show More

Related Articles

Back to top button