Berita SemasaPM X

PM dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah NUST

ISLAMABAD – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST), sebuah universiti terkemuka di Pakistan.

Perdana Menteri berkata, beliau amat berbesar hati atas penganugerahan ijazah kedoktoran itu selain menerimanya bagi pihak rakyat Malaysia sebagai simbol hubungan intelektual.

“Dengan penuh kerendahan hati, atas semangat Iqbal, saya menerima penghormatan ini bagi pihak rakyat Malaysia sebagai simbol hubungan intelektual dan budaya yang mendalam antara negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Pakistan semalam bagi tujuan lawatan kerja selama tiga hari.

Anwar berkata, semasa syarahan umum, beliau menegaskan bahawa Malaysia dan Pakistan mesti memperluaskan usaha untuk menentang ekstremisme radikal dan keganasan.

Beliau berkata, usaha tersebut boleh dilakukan melalui perisikan bersama, perkongsian strategik dan inisiatif memerangi keganasan bersama.

“Saya percaya kita mesti menggandakan usaha kita untuk memerangi ancaman ini pada akarnya.

“Usaha itu memerlukan pendekatan bersatu yang melangkaui kerjasama ketenteraan dan perisikan untuk memasukkan pembaharuan pendidikan dan sosial yang menangani punca radikalisme dan ekstremisme,” ujar Anwar.

Dalam ucapan yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyebut akan kepentingan peranan belia dan wanita.

“Adalah penting bagi Malaysia dan Pakistan bekerjasama untuk mempromosikan sumbangan mereka seterusnya memperkasakan mereka untuk mengambil tempat yang sepatutnya sebagai inovator masa depan,” katanya.

Anwar menambah, beliau mengingatkan bahawa hubungan antara Malaysia dan Pakistan berakar umbi dari sikap saling menghormati serta perkongsian aspirasi.

“(Hubungan Malaysia-Pakistan) bukan sahaja melalui perdagangan dan diplomasi tetapi melalui ikatan yang menyatukan rakyat kita,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button