Berita Semasa

KPT tidak berhasrat batal minggu orientasi pelajar baharu

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak berhasrat untuk mengarahkan agar minggu orientasi pelajar baharu di institusi pendidikan tinggi awam atau swasta (IPTA/ IPTS) dibatalkan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ada keperluan agar sesi orientasi sedemikian diteruskan memandangkan ia diamalkan di pelbagai negara.

“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri pelajar-pelajar baharu universiti dan kolej untuk mereka sesuaikan diri dengan kolej dan kampus mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video ‘prank’ seorang fasilitator wanita bertengkar dengan seorang fasilitator lelaki yang kemudiannya diakhiri sambutan hari jadi salah seorang rakan mereka.

Kejadian itu berlaku ketika program orientasi mahasiswa baharu yang dipercayai di salah sebuah cawangan universiti awam yang terletak di selatan tanah air.

Rentetan daripada kejadian itu, Zambry telah meminta pihak universiti berkenaan untuk melihat kembali berhubung insiden berkenaan agar ia tidak berulang.

“Mungkin ada masalah di sesuatu tempat tapi janganlah kita ambil satu pandangan bahawa orientasi ini tidak sesuai dan sebagainya.

“Saya telah maklumkan kepada universiti itu untuk melihat kembali seperti buat ‘prank’ itu supaya keadaan itu tidak berlaku lagi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button