Berita SemasaJenayah & Mahkamah

24 ahli GISBH akan disambung reman

KUALA LUMPUR – Polis akan memohon lanjutan reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, yang dijadual tamat esok.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, untuk membolehkan pihaknya meneruskan siasatan berkait kes pemerdagangan orang.

“Semua 24 ahli termasuk kepimpinan tertinggi GISBH seperti CEO, isteri dan anak-anak ditangkap semula bersabit satu kertas siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Permohonan sambung reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya memetik laporan BH Online.

Pada 19 September lalu, Nasiruddin dilapor antara yang ditahan susulan Op Global dilancarkan polis, sebelum mereka direman tujuh hari.

Tempoh reman membabitkan keseluruhan 24 yang ditahan itu dilanjutkan selama dua kali pada 25 dan 30 September lalu, dengan yang terakhir dijangka tamat esok.

Dalam pada itu, Razarudin berkata setakat ini 93 ahli GISBH ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala 34 lagi mengikut peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Show More

Related Articles

Back to top button