Berita Semasa

Tidak salam dengan menteri: CEO MADACorp mohon maaf, jelaskan ia salah faham

PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp), Abdullah Ismail memohon maaf selepas tular videonya di media sosial tidak bersalaman dengan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika membuat lawatan kerja di Kedah pada Isnin lalu.

Abdullah menjelaskan, perkara itu merupakan satu salah faham kerana telah bersalaman dengan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan itu ketika beliau tiba.

“Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan menteri sebaik sahaja beliau keluar daripada kereta. Kemudian saya mengiringi menteri bersalaman dengan pegawai-pegawai yang lain.

“Ketika mengiringi menteri bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan saya. Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau memohon maaf dan mengakui kesilapan tersebut kerana tidak menyambut salam sekali lagi.

“Saya ingin memohon maaf di atas salah faham yang telah berlaku. Akhir sekali, saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button