Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Proton Wira hilang ditemui

SUNGAI PETANI – Sebuah kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang di Alor Setar hari ini berjaya ditemui semula selepas pihak polis menahan salah seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Kereta Proton Wira yang dipercayai hilang di Alor Setar ditemui semula selepas polis menahan seorang lelaki yang melarikan kereta itu yang terbabas dan melanggar tiang elektrik. Foto NSTP/Ihsan polis

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.30 petang ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) sedang menjalankan rondaan di kawasan Petron Sungai Layar.

“Anggota polis yang bertugas melihat sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan. Ketika mereka mengarahkan pemandu kereta itu berhenti, suspek terus memecut dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azharuddin, anggota polis mengeluarkan lampu beacon dan siren serta memberi amaran sebanyak tiga kali, namun pemandu masih enggan berhenti.

“Anggota bertindak menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk meminta bantuan sementara meneruskan usaha mengejar kereta tersebut.

“Kereta itu kemudiannya dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik berhampiran Sekolah Kebangsaan Syed Jan Al-Jaffri,” katanya lagi.

Dua lelaki dilihat keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri, namun seorang daripada suspek berjaya ditahan.

“Pemeriksaan terhadap suspek tidak menemui sebarang barang larangan,” tambahnya

Hasil siasatan lanjut mendapati kereta tersebut dilaporkan hilang di Alor Setar pada hari yang sama.

Suspek berusia 44 tahun, berasal dari Alor Setar, telah ditahan dan kereta itu dirampas untuk siasatan lanjut.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau, termasuk tiga kes berkaitan dadah dan lima kes jenayah.

“Operasi untuk menahan suspek kedua yang melarikan diri masih diteruskan,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button