Berita SemasaLuar Negara

Malaysia gesa semua pihak di Timur Tengah segera kurangkan ketegangan

KUALA LUMPUR – Malaysia menyeru semua pihak di Timur Tengah untuk segera mengurangkan ketegangan yang semakin memuncak dan menggugat kestabilan di rantau itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap serangan berterusan oleh Israel di Lubnan, Syria dan Yaman, yang disifatkan sebagai percubaan sengaja untuk mengalihkan perhatian komuniti antarabangsa daripada kekejaman dan tindakan genosidanya terhadap rakyat Palestin di Gaza serta Tebing Barat.

“Tindakan ini jelas bertujuan mengekalkan pemimpin politik Israel yang ada sekarang kekal berkuasa dan terhindar daripada hukuman penjara dengan mengorbankan nyawa tidak bersalah demi kepentingan karier politik seorang individu,” katanya satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar menegaskan, amat penting untuk menghentikan kitaran tindak balas yang berbahaya ini kerana ia boleh mengheret lebih banyak pihak ke dalam konflik tersebut, sekali gus menambah ketidakstabilan serta memperluaskan skala kemusnahan.

Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera bertindak bagi mengurangkan permusuhan dan mewujudkan syarat-syarat yang diperlukan untuk mengelakkan konflik serantau yang lebih luas.

Show More

Related Articles

Back to top button