Luar Negara

Iran lancar 180 peluru berpandu, balas pembunuhan pemimpin pejuang

BAITULMAQDIS/BEIRUT – Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada malam Selasa, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Tehran.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan di seluruh rantau dan mengundang ikrar balas dendam dari pihak Israel.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu selepas kira-kira sejam ia berakhir, mendakwa sejumlah besar peluru berpandu berjaya dipintas.

Menurut kenyataan tentera Israel, Iran memulakan serangan dengan menyasarkan kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis tersebut.

Rakaman video dari beberapa bandar di Iran, termasuk ibu negara Tehran, menunjukkan serangan peluru berpandu yang dilancarkan terhadap Israel.

Dalam kenyataan rasmi, IRGC menyatakan serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tokoh penting seperti Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan.

“Sebagai tindak balas atas pemergian tokoh-tokoh penting ini, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki Israel,” kata IRGC dalam kenyataannya.

IRGC juga menegaskan, tindakan ini selaras dengan hak Iran untuk mempertahankan diri berdasarkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutama selepas rejim Zionis dengan sokongan Amerika Syarikat telah meningkatkan jenayah di Lubnan dan Gaza.

Operasi serangan ini turut mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional Iran dan dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Republik Islam Iran serta Kementerian Pertahanan negara tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan serangan balistik itu sebagai satu kesilapan besar oleh Iran dan berikrar akan memastikan Tehran membayar harga yang mahal.

“Iran melakukan kesilapan besar malam ini dan mereka perlu menanggung akibatnya,” katanya lagi.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, yang berada di pusat kawalan pemantauan ketika serangan berlaku, turut berjanji akan menghukum Iran atas serangan ini.

“Iran akan membayar harga yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Petugas perubatan Israel melaporkan dua orang mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan peluru berpandu.

Di Tebing Barat, seorang rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Jericho selepas terkena serpihan roket yang jatuh dari udara.

Berikutan serangan tersebut, ruang udara Israel ditutup sementara dan semua jadual penerbangan terpaksa diubah.

Iraq, Jordan dan Lubnan juga bertindak menutup ruang udara mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Jordan melaporkan bahawa sistem pertahanan udaranya telah bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron yang melintasi ruang udaranya.

Show More

Related Articles

Back to top button