Berita Semasa

BERSATU gesa kerajaan tarik balik cadangan kurang subsidi pendidikan anak golongan kaya

PETALING JAYA – Sayap Bersekutu BERSATU menggesa kerajaan supaya segera menarik balik cadangan untuk mengurangkan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya dan memohon maaf kepada rakyat.

Ketua Penerangannya, R Sri Sanjeevan menyifatkan cadangan tersebut sebagai langkah mundur dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang inklusif di negara ini.

Beliau juga menegaskan bahawa ia merupakan tindakan populis yang mengorbankan masa depan rakyat demi keuntungan politik jangka pendek.

“Cadangan terbaru itu bukan sahaja satu kesilapan dasar yang serius, malah ia juga mengancam masa depan Malaysia.

“Ini bukan sekadar kritikan, tetapi seruan kepada rakyat Malaysia untuk mempertahankan asas demokrasi dan keadilan sosial negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa cadangan itu boleh melemahkan perpaduan dan daya saing rakyat Malaysia, kerana sistem pendidikan awam yang kukuh adalah asas kepada negara yang berdaya saing.

Cadangan tersebut timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa subsidi kepada anak golongan kaya yang belajar di sekolah terbaik dibiayai kerajaan dihentikan.

Beliau berkata, bantuan pendidikan seharusnya lebih adil dengan memberi keutamaan kepada kumpulan yang memerlukan, terutamanya golongan rentan.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa kini wujud keadaan yang tidak adil, apabila anak-anak kepada penjawat awam kanan, pemimpin politik dan pengusaha terkenal diberi akses kepada sekolah terbaik yang dibiayai kerajaan.

Mengulas lanjut, Sanjeevan turut menekankan bahawa definisi “golongan kaya” yang tidak jelas dalam cadangan tersebut membuka ruang kepada manipulasi, ketidakadilan dan diskriminasi.

“Cadangan ini juga boleh membawa implikasi lebih besar di peringkat antarabangsa, mencemarkan imej Malaysia dan bertentangan dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 yang menekankan pendidikan berkualiti untuk semua,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa sejarah membuktikan negara yang berjaya adalah negara yang melabur dalam pendidikan rakyat tanpa prejudis.

“Oleh itu, tindakan menafikan sebahagian masyarakat akses kepada pendidikan berkualiti dianggap sebagai mengkhianati rakyat dan menggagalkan potensi negara,” tambahnya.

Sebagai langkah alternatif, Sanjeevan mencadangkan agar kerajaan melaksanakan pelan komprehensif untuk meningkatkan kualiti pendidikan, melabur dalam inovasi pendidikan dan pembangunan guru, serta mengadakan dialog nasional.

Beliau juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Parlimen Khas untuk mengkaji dan menambah baik sistem pendidikan Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button