Berita SemasaLuar Negara

90 peratus peluru berpandu berjaya mengenai sasaran – IRGC

TEHRAN – Pusat strategik di Israel yang disasarkan Iran dalam serangan malam tadi adalah “dengan peluru berpandu yang dibuat oleh anak-anak Iran”, kata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

IRGC dalam kenyataan keduanya selepas serangan, memaklumkan, serangan misil terhadap rejim Zionis menyasarkan beberapa pangkalan tentera udara dan radar sudah disasarkan dalam operasi berkenaan.

Tegas IRGC, walaupun kawasan itu dilindungi oleh sistem pertahanan yang paling canggih dan berskala besar, 90 peratus daripada peluru berpandu berjaya mengenai sasaran, dan rejim Zionis takut dengan perisikan dan penguasaan operasi Republik Islam.

“Operasi itu dilakukan dalam rangka hak pertahanan yang sah dan berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan sebarang kebodohan musuh akan dijawab dengan cara yang merosakkan dan dikesali,” katanya memetik laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Sementara itu, IRGC menyatakan bahawa pangkalan yang diserang adalah pusat konspirasi dan perancangan pembunuhan.

“Kami menyerang pusat perancangan pembunuhan terhadap pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan pemimpin Hizbullah di Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah serta komander tentera Hizbullah, kumpulan Palestin dan komander Pengawal Revolusi,” katanya.

Malam tadi, Iran mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke atas kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis.

Show More

Related Articles

Back to top button