Berita SemasaBisnes & Ekonomi

YAPEIM agih RM700 juta, beri manfaat kepada 1.5 juta penerima

PUTRAJAYA – Sejak 40 tahun lalu, kira-kira RM700 juta telah diagihkan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kepada 1.5 juta penerima di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Mond Radzif Mohd Yunus berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, sejumlah RM30.7 juta telah diagihkan.

“YAPEIM berpegang kepada tiga teras utama, iaitu pembangunan sosial, pendidikan dan pembangunan ekonomi Islam dalam menggerakkan agensi ini.

“Dalam pembangunan sosial pula, kami menyediakan program komuniti untuk tempoh tiga tahun bagi satu-satu lokasi yang dipanggil Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM atau PPKY,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Serantau YAPEIM 2024 atau FSY2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah Mohd Radzif, YAPEIM turut menekankan bantuan pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat menara gading, sekali gus membantu penerima keluar daripada kepompong kemiskinan.

Jelas Mohd Radzif, bagi aspek pembangunan ekonomi Islam, YAPEIM mula berkecimpung dalam perniagaan Ar-Rahnu YAPEIM bagi menyediakan perkhidmatan pembiayaan mikro kepada masyarakat.

“Kami juga terlibat dalam program keusahawanan dalam kalangan kumpulan nano dan mikro secara bersama dengan SME Bank dan Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) yang bermula 10 tahun dulu,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button