Automatif & TeknologiBerita Semasa

LMM Kelas B Penuh : Pemohon perlu lepasi syarat ditetapkan

KAJANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menetapkan tiga syarat utama bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B Penuh yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, syarat pertama iaitu pemohon mesti warganegara Malaysia. Syarat kedua adalah pemohon perlu memiliki lesen memandu kompeten (CDL) Kelas B2/B1 yang sah dan berkuat kuasa secara berterusan.

Manakala, syarat ketiga menekankan bahawa setiap pemohon mesti bebas dari senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

“Pemegang LMM Kelas B2/B1 yang layak boleh membuat permohonan untuk mengikuti program khas itui. Semakan kelayakan boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam, atau di kaunter JPJ,” jelas Aedy selepas meninjau sesi ujian program berkenaan di AMSA Bangi Driving Academy, di sini.

Beliau turut menyatakan bahawa pemohon yang layak perlu hadir ke salah satu daripada 180 institut memandu terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan program ini.

“Sebelum mendaftar di institut memandu, pemegang lesen juga diwajibkan untuk melakukan pengesahan kendiri mengenai kesihatan fizikal dan mental mereka,” katanya lagi.

Aedy memaklumkan bahawa maklum balas orang awam terhadap program ini adalah tinggi. “Kami juga sedang mengambil tindakan untuk menaik taraf sistem aplikasi MyJPJ bagi memastikan akses yang lebih mudah dan tinggi,” tambahnya.

Kadar siling fi untuk program khas ini ditetapkan pada RM160 untuk sesi latihan selama dua jam. Berbeza dengan mereka yang tidak memenuhi syarat yang perlu menjalani latihan selama 16 jam dengan kadar bayaran serendah RM800 untuk mendapatkan lesen Kelas B Penuh. Kadar fi ini termasuk pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian, fi perkhidmatan (seperti sewaan kenderaan dan litar), serta fi ujian JPJ.

Program itu bertujuan untuk menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/B1 kepada Kelas B Penuh, dan tiada lagi permohonan baharu untuk mendapatkan LMM Kelas B1 di institusi memandu.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman web www.jpj.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button