Berita Semasa

Kerajaan lancar MyPCVE, kekang penyebaran ideologi keganasan

PUTRAJAYA – Bagi membanteras aktiviti serta ideologi pelampau keganasan di Malaysia, kerajaan hari ini secara rasminya melancarkan Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelan tindakan tersebut dibangunkan untuk memenuhi saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan agar semua negara anggota mempunyai pelan tindakan sendiri bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan.

Jelas beliau, MyPCVE mengandungi empat teras utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan yang mempunyai fokus strategik yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua pihak.

“Pelaksanaan inisiatif itu termasuklah agensi penguat kuasa, penggubal dasar dan pelaksana dengan usaha kolaboratif bersama pertubuhan masyarakat sivil seperti ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan dan masyarakat setempat.

“Selain itu, keempat-empat teras MyPCVE menggunakan pendekatan bersepadu yang menggabungkan ‘soft approach’ dan ‘hard appproach’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) dalam satu majlis, di sini, hari ini.

Hadir sama, Saifuddin dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Tambah Saifuddin, MyPCVE adalah berbeza dengan pelan tindakan yang diguna pakai di negara lain kerana ia melihat fahaman pelampau secara menyeluruh dan menggunakan pendekatan yang mengambil kira beberapa prinsip, dasar, dan nilai yang unik bagi Malaysia.

“Harapan kami di KDN kepada pelan yang akan diguna pakai pada 2024 hingga 2028, ia akan berhasil membantu mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam negara insya-Allah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button