Berita SemasaPM X

Sarawak negeri contoh catat pencapaian selari dasar negara

KUALA LUMPUR – Sarawak mampu memperoleh pencapaian lebih tinggi melalui potensi kerjasama yang lebih besar dengan Brunei dan Indonesia dalam pelbagai bidang sama ada pelaburan, tenaga, pelancongan dan sebagainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menyokong visi itu beliau menegaskan seluruh jentera kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri perlu memastikan dasar dilaksanakan secara lebih pantas dan segera.

“Ucapan malam ini saya mulakan dengan menzahirkan penghargaan atas kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam bersama-sama membangunkan negara, hingga negeri ini mencatat pertumbuhan ekonomi yang membanggakan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Miri bersama Premier Sarawak, pimpinan persekutuan, negeri dan rakyat setempat malam tadi.

Anwar berkata, antara contoh kecemerlangan Sarawak termasuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang mencapai kemajuan lebih 90 peratus berbanding hanya sekitar 50 perarus di Sabah akibat permasalahan kontrakor serta campur tangan politik berlebihan.

“Kerana itu saya berulang kali tekankan kepentingan melaksanakan projek dan inisiatif rakyat yang mendesak secepat mungkin.

“Alhamdulillah perubahan ini mula memberi kesan positif kepada imej negara di mata dunia,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata, usaha Malaysia untuk menjadi lebih kompetitif, bingkas dan dinamik di samping pendirian yang bebas dan merdeka mula menarik minat pelabur sama ada dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea, China mahupun Rusia.

“Justeru kita harus berfikir dan memilih, sama ada mahu kekal lembap dan mundur, bergaduh soal titik bengik dan perbezaan warna kulit, atau memacu momentum yang telah kita bina ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button