Berita SemasaPolitik

Kemenangan luar biasa PRK DUN Mahkota: Isyarat penerimaan Kerajaan Perpaduan di Johor

JOHOR BAHRU – Kejayaan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti besar memberi mesej jelas bahawa rakyat Johor menerima Kerajaan Perpaduan dengan positif.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Naim Jusri berkata, kemenangan tersebut sebagai tanda kematangan politik Bangsa Johor berbanding negeri-negeri lain.

“PKR Johor mengucapkan tahniah kepada Syed Hussein atas kemenangan itu. Ia juga mencerminkan kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang berjaya diperkukuhkan sejak PRK Simpang Jeram dan Pulai, kini diteruskan dalam PRK Mahkota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Naim, kemenangan itu juga hasil daripada usaha gigih Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, yang menjadi tonggak kerjasama antara PH dan BN sepanjang tempoh kempen.

“Kerjasama antara UMNO, DAP, MCA dan MIC telah meningkatkan keyakinan pengundi PH dan BN untuk menyokong calon Perpaduan. ‘Vote transferability’ di antara PH dan BN juga terbukti kukuh, dengan jumlah undi pada PRK Mahkota ini hampir menyamai undi yang diterima dalam PRN tahun lalu,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa pengundi di Mahkota memberi isyarat jelas mengenai sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz.

“Kami berharap kerjasama yang ditunjukkan semasa kempen dapat diteruskan dengan keikhlasan dalam pentadbiran dan pembuatan dasar di Johor. Ini penting untuk memastikan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan,” katanya lagi.

Naim turut memetik kata-kata tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi: “Unity to be real must stand the severest strain without breaking,” sebagai simbolik kepada kekuatan perpaduan yang ditunjukkan oleh Bangsa Johor.

Kemenangan besar itu sekaligus memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di Johor, serta memberi keyakinan terhadap masa depan politik dan ekonomi negeri tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button