Berita Semasa

Sultan Selangor terima sembah maklum surat permohonan maaf MB Kedah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Selangor Royal Official dalam kenyataannya memaklumkan, surat bertarikh pada Rabu itu antaranya memuatkan permohonan ampun dibuat Muhammad Sanusi atas kenyataan telah dipertuduhkan terhadap beliau di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Sanusi mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah menggores hati serta perasaan baginda.

“Beliau (Muhammad Sanusi) benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Official pada Khamis.

Semalam, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau pada Julai tahun lalu dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Muhammad Sanusi turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri itu atas keterlanjuran kata-kata beliau.

 

Show More

Related Articles

Back to top button