Berita Semasa

KPKT perkenal hukuman khidmat sosial tahun depan bagi pesalah buang sampah

PUTRAJAYA – Bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membawa usul pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata pada tahun depan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pindaan undang-undang baharu ini melibatkan undang-undang khidmat sosial bagi memastikan pesalah yang pernah melakukan kesalahan tidak mengulangi perbuatan yang sama di masa depan.

Jelas Kor Ming, mereka yang dikenakan tindakan undang-undang ini pernah disabit kesalahan dan tidak takut walaupun dikenakan kompaun.

“Kita akan jemput individu yang melakukan kesalahan berulang ini dengan memberi mereka t-shirt istimewa untuk sama sama turun padang cuci longkang dan jalan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Clean Up Day 2024 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5 di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5, di sini, hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune.

Program anjuran KPKT yang akan berlangsung Sabtu ini secara serentak di seluruh negara mensasarkan 50,000 peserta melibatakan 156 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia merupakan kempen gotong royong mega secara bersepadu di seluruh negara bagi memastikan Malaysia sentiasa bersih,hijau, indah dan
mampan.

Kor Ming berkata,beliau beranggapan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) ini adalah satu kaedah yang terbukti berkesan dan sudah diamalkan di beberapa negara maju seperti Norway, Sweden dan Singapura.

Menurutnya, pindaan ini akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada tahun hadapan.

Katanya,sekarang ini zaman sosial media, sekiranya kita tidak menjaga kebersihan pelancong asing yang datang akan menyebarkannya di media sosial menyebabkan nama negara terjejas.

“Olehkerana itu adalah penting bagi kita untuk memulakan usaha ini pada tahun depan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button