Berita Semasa

Hari Cuci Malaysia dijangka terima tiga pengiktirafan MBOR – Kor Ming

PUTRAJAYA – Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 dijangka menerima tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming program yang bakal diadakan pada 28 September itu bakal diadakan serentak di seluruh negara selama 12 jam iaitu bermula pada jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Jelas Kor Ming, pihaknya turut menyasarkan sebanyak 50,000 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR), komuniti PRIMA home, 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pelbagai kementerian dan rakan strategik KPKT.

“Ini merupakan gotong royong paling besar dalam sejarah di mana kita akan pecahkan tiga rekod iaitu yang pertama, penyertaan paling ramai dengan kita sasarkan sebanyak 50,000. Kedua, kutipan sampah paling tinggi iaitu kita sasarkan 3000 metrik tan dan yang ketiga, gotong royong paling lama, selama 12 jam dari 8:00 pagi hingga 8.00 malam.

“Bukan sahaja kerja pembersihan, ada juga kempen kita semula, penutupan tapak pelupusan sampah haram, pameran pelancaran ekonomi kitaran dan juga Kempen Katakan Tidak Kepada Beg Plastik. Ini adalah rangkuman dalam Program hari Cuci Malaysia,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5, di sini, hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan pra-pelancaran Hari Cuci Malaysia di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5, di sini, hari ini.

Tambah Kor Ming, penganjuran Hari Cuci Malaysia yang berpusat di Pasar Seni, Kuala Lumpur itu diadakan bersempena World Cleanup Day yang diadakan pada 20 September lalu.

“Hari Cuci Malaysia ini merupakan kempen gotong royong mega secara bersepadu di seluruh negara bagi memastikan Malaysia sentiasa bersih, hijau, indah dan mampan.

“Selain itu, kita juga menghadapi masalah tapak pelupusan sampah haram yang bercambah biak di seluruh negara.

“Justeru itu, inisiatif program ini diharap dapat mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal selain daripada mengoptimakan tapak pelupusan sampah sedia ada supaya tiada lambakan sisa berlebihan,” katanya.

Tambah Kor Ming, Hari Cuci Malaysia turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta PBT seluruh negara.

“Inisiatif ini juga adalah seiring dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Madani yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button