Berita SemasaDalam Negeri

Tanah jerlus: DBKL bertemu penjaja, pemilik premis Jalan Masjid India

KUALA LUMPUR – Satu pertemuan bagi mengemas kini perkembangan isu tanah jerlus telah diadakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama wakil penjaja dan pemilik premis di sekitar Jalan Masjid India di sini semalam.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, perkembangan terkini isu tersebut telah dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan terutama melibatkan status kemajuan kerja pembaikan dan pemulihan di lokasi tanah jerlus.

“Bagi memastikan semua pihak berkepentingan sekitar Masjid India sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai apa yang sedang berlaku di sekeliling premis mereka, satu perjumpaan yang dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim telah diadakan (semalam).

“DBKL dan semua agensi berkaitan terus komited untuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan baikpulih sekiranya perlu bagi memastikan kepentingan semua pihak diutamakan dan terus dipelihara,” menurut kenyataan itu.

Isu keselamatan di sekitar Jalan Masjid India bermula apabila seorang wanita warga India hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter dalam kejadian tanah jerlus pada 23 Ogos lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditamatkan selepas lebih seminggu pencarian tidak berhasil.

 

Show More

Related Articles

Back to top button