Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Polis beri amaran jangan terperdaya kutipan dana bantu ‘anak-anak’ GISBH

KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan kutipan dana untuk membantu anak-anak ahli pengikut Global Ikhwan Services Holding (GISBH) yang mula tular di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengesan hantaran kutipan derma tersebut di laman Facebook yang mengajak orang ramai menderma untuk disalurkan kepada tabung bantuan anak-anak pengikut GISBH.

“PDRM mengesan posting yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Dzulkifli Salleh dalam Facebook Page Meru & Bukit Kapar Komuniti… bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terkesan akibat isu ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes GISBH terus menyalurkan maklumat ke balai polis daerah masing-masing.

“PDRM komited untuk membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keamanan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” jelasnya lagi.

Polis baru-baru ini melakukan Ops Global dan menyelamatkan 392 kanak-kanak penghuni 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH.

Siasatan polis mendedahkan sebahagian daripada kanak-kanak berkenaan dieksploitasi, diliwat dan mengalami tekanan psikologi.

Show More

Related Articles

Back to top button