Berita SemasaDalam Negeri

MCMC, MIDA bangun rangka kerja penilaian tahap kesediaan 5G untuk PKS

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Kerangka Penilaian Tahap Kesediaan Industri Bagi Perkhidmatan 5G Di Malaysia.

Bengkel yang diadakan di Putrajaya itu merupakan tindakan susulan daripada pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan MIDA pada 4 Julai lalu untuk menjalankan program serta inisiatif memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor vertikal serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Bengkel yang dihadiri oleh lebih 100 peserta itu bertujuan untuk membangunkan kerangka bagi menilai tahap ketersediaan sektor-sektor utama ekonomi negara iaitu dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian dalam penerimagunaan teknologi 5G.

“Parameter yang akan digunakan untuk menilai tahap ketersediaan sektor-sektor utama meliputi aspek lokasi, pelaburan, kemahiran/bakat, infrastruktur digital dan perkhidmatan,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang sesi bengkel tersebut, pelbagai maklum balas telah dikemukakan dari agensi-agensi yang terlibat antaranya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), SIRIM Berhad, SME Corporation Malaysia (SME Corp), Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat-syarikat telekomunikasi serta persatuanpersatuan industri berkepentingan.

Menurut MCMC, maklum balas yang dikumpul akan digunakan untuk membangunkan sebuah kerangka kerja penilaian yang komprehensif bagi penerimagunaan teknologi 5G oleh pelbagai industri di Malaysia, termasuk dalam kalangan PKS.

“MCMC menyifatkan penganjuran bengkel ini sebagai satu langkah signifikan ke arah memastikan ketersediaan industri dalam mengadaptasi teknologi 5G.

“Ia berupaya untuk meningkatkan tahap produktiviti dan kecekapan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan,” katanya.

Sementara itu, MIDA turut menekankan komitmen untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penggunaan teknologi canggih ini.

“Penerimagunaan teknologi 5G ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dalam industri-industri utama, malahan menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini.

“Ini sekali gus akan memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerjasama strategik itu diharapkan dapat meningkatkan lagi usaha mempromosi dan mempercepatkan adaptasi penggunaan teknologi 5G bagi pelbagai industri utama di Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button