Berita Semasa

MCMC diminta perluas siasatan penjualan dadah bentuk lolipop di media sosial

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya menyiasat mana-mana akaun media sosial yang menjalankan kegiatan menjual dadah secara terbuka.

Gesaan tersebut timbul selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, satu akaun di aplikasi TikTok telah disekat kerana didakwa menjual dadah berbentuk lolipop.

“Saya telah dimaklumkan mengenai aduan dimuat naik di laman X semalam mengenai jualan dadah dalam aplikasi TikTok.

“Carian pagi tadi telah menunjukkan TikTok telah ambil tindakan untuk menurunkan akaun tersebut,” kata Fahmi.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di bangunan kementeriannya di sini, hari ini.

Tambah Fahmi, satu laporan polis telah dibuat oleh MCMC dan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan berhubung perkara itu.

Maklum Fahmi lagi, pihak MCMC bakal menghubungi TikTok untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai penjualan dadah di platform media sosial terbabit.

Baru-baru ini, tular seorang pengguna TikTok bernama Daddy Rah yang mendakwa terdapat individu yang menjual ‘lolipop’ yang mengandungi dadah di aplikasi TikTok.

Lelaki terbabit turut mendedahkan bahawa ibu bapa di Thailand sudah menerima amaran tentang bahaya gula-gula tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button