Berita Semasa

Lebih 800 Briged Sukarelawan IPT digerakkan bantu mangsa banjir

PUTRAJAYA – Seramai 878 sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar di Bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digerakkan dalam Misi Bantuan Pasca Banjir KPT ke beberapa negeri di utara Semenanjung.

Menurut KPT dalam satu kenyataan, misi itu digerakkan melalui Briged Sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)

“Turut digerakkan adalah pelbagai aset milik IPT yang digunakan bagi memudahkan capaian ke lokasi yang terjejas meliputi dua buah bot, 24 buah bas, enam buah lori, 15 buah van dan 17 buah kenderaan pacuan empat roda.

“KPT juga menyediakan pelbagai kelengkapan tambahan antaranya 56 unit waterjet, empat buah waterpump, tiga tangki air dan sembilan unit generator bagi melancarkan kerja pembersihan bangunan awam seperti sekolah dan premis di kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Briged Sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) digerakkan bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir dalam Misi Bantuan Pasca Banjir KPT ke beberapa negeri di utara Semenanjung.

Selain itu, katanya, pasukan itu turut menyediakan perkhidmatan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok kepada mereka yang memerlukan.

“Selain Kedah dan Pulau Pinang, misi bantuan ini akan turut dipanjangkan kepada semua kawasan banjir yang terjejas di negeri Perak dan Perlis dan bersedia menggerakkan di kawasan lain sekiranya diperlukan.

“KPT berharap dengan usaha yang digerakkan ini dapat memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir serta seluruh warga Kementerian juga mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button