Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kanak-kanak GISBH berdepan isu kesihatan mental – KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berdepan masalah kesihatan mental akibat trauma yang dialami.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihak KKM telah menyediakan rawatan dan sistem sokongan kesihatan mental yang diperlukan untuk kanak-kanak tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

“Kami telah mengenal pasti beberapa isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak yang diselamatkan dan maklumat terperinci mengenai perkara ini akan diberikan setelah operasi menyelamat selesai.

“Buat masa ini, operasi masih berlangsung di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 dan pelancaran inisiatif MyMediSAFE di sini, hari ini.

Lukanisman juga menegaskan ada kanak-kanak yang memerlukan sokongan kesihatan mental kerana dipisahkan daripada keluarga mereka dan ada yang tidak memahami situasi yang sedang dihadapi mereka ketika ini.

“Pakar psikologi telah dihantar ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur untuk memberikan bantuan profesional.

“Kami serahkan kes ini kepada pakar-pakar psikologi yang terlatih untuk menilai dan memberi rawatan sewajarnya,” tambahnya.

Pada Ahad lalu, beliau memberitahu 13 pakar psikologi daripada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah disediakan untuk menilai serta merawat kanak-kanak yang terlibat dalam Op Global.

Dalam perkembangan lain, Lukanisman memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, akan memberikan penjelasan lanjut mengenai penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dalam masa terdekat.

“Menteri telah mengeluarkan kenyataan di media sosial mengenai Akta 852 dan akan mengulas lanjut selepas mesyuarat pasca Kabinet petang ini,” katanya lagi.

Bermula 1 Oktober 2024, Akta 852 akan berkuat kuasa, merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam, termasuk rokok elektronik dan vape.

Akta ini merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan penggunaan produk tembakau dan risiko kesihatan yang berkaitan.

Show More

Related Articles

Back to top button