Berita SemasaDalam Negeri

PTPTN : MCA gesa kerajaan beri ‘kuasa’ majikan potong gaji

KUALA LUMPUR – MCA mencadangkan kerajaan memberi kebenaran kepada majikan untuk melaksanakan pemotongan gaji secara automatik bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan peminjam yang engkar.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas bagi menyelesaikan isu tunggakan bayaran semula yang dikatakan mencecah RM6 bilion setakat ini.

Tindakan itu juga katanya penting untuk memastikan kelangsungan tabung pendidikan itu untuk dimanfaatkan generasi akan datang bagi mendapatkan akses pendidikan.

“Sebagai alternatif, bahagian caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan boleh dialihkan kepada ansuran PTPTN dan bukannya akaun KWSP pekerja.

“Ini akan memastikan pembayaran balik pinjaman dibuat secara konsisten, mengurangkan beban kedua-dua pihak sama ada peminjam atau PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab peminjam menyebabkan tabung pendidikan itu kini berada dalam keadaan membimbangkan.

Data daripada PTPTN pula mendedahkan seramai 430,000 peminjam termasuk yang sudah berpuluh tahun menamatkan pengajian tidak pernah membayar hutang melibatkan jumlah RM6 bilion.

Selain itu Hang Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA juga mengesyorkan satu dasar perlu diperkenalkan kepada individu bekerja sendiri atau pemilik tunggal bagi melarang pembaharuan lesen perniagaan sekiranya memiliki tunggakan pinjaman PTPTN.

“Langkah ini Ini akan menggalakkan pembayaran balik dan memastikan akauntabiliti dalam kalangan peminjam yang bekerja sendiri.

“Selanjutnya, pihak berkuasa sama ada PTPTN, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi dan Jabatan Imigresen perlu lebih teliti dalam menyenaraikan semua peminjam yang ingkar dalam senarai hitam bagi menghalang mereka daripada meninggalkan negara sehingga pinjaman tertunggak mereka diselesaikan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button